KembaraPena

Acap kali langit membiru cahaya menyinari setiap penjuru, Aku berdiri membisu memikir hala tujuku, Acap kali guruh berbunyi memecah suasana sunyi, Aku masih sendiri mengenang nasibku ini, Kaki harus terus mengembara menuju entah ke mana, Dengan pena aku berkata bersama pena merungkai segala…

Archive for Kembara Pena

Beratkah?

Berat… antara kalimah yang sering diucapkan oleh sahabat-sahabat yang melawat blog kembara ini, dan perkataan tersebut ditujukan buat penulisan kembara yang dikatakan berlainan dengan blog yang lain, yang penulisannya lebih bersahaja.

Sebenarnya, kembara sendiri tidak dapat menilai jumlah berat penulisan kembara ini, tetapi kembara tahu mengenai berat tubuh badan kembara sendiri. Angka berat yang dicatatkan dalam kilogram, kian bertambah sejak dahulu lagi dan kini kenaikan angkanya tidak terhenti lagi.

Namun, bukan ini yang dimaksudkan oleh sahabat-sahabat kembara. Dengan senyuman yang sinis, kembara mengerti maksud mereka. Ada yang menasihatkan kembara untuk mengurangkan berat penulisan dan berat badan kembara. Namun jauh di lubuk hati, terbit perasaan dan buah fikiran untuk mengekalkan keadaannya dalam sedia kala.

Hati memberitahu kembara, mungkin itulah siapa kembara? Berat penulisan dan berat badannya sehala. Berat penulisan kembara mungkin dipengaruhi oleh penulisan insan terbilang dari zaman yang berbeza, sedangkan berat badan kembara berpunca dari nafsu makan yang tidak terkawal lagi.

Hehe, apa yang kembara merapu ini. Sebenarnya, kesimpulan dari empat perenggan ini, kembara ingin menyatakan bahawa kembara gembira kerana ada insan yang ingin memberi kata dua setelah membaca penulisan kembara… Biar apa pun kata mereka, kembara akan ambil dan timbang dengan berat badan kembara. Sekiranya selari, mungkin kembara akan simpan dalam hati, tetapi kalau tidak sehala, kembara akan simpan di kepala untuk kembara fikirkan bersama.

Tangan dihulur dialam maya untuk mengucap terima kasih buat setiap pembaca… hehehehe

Karya atau Populariti

Kembara Pena duduk termenung melihat jendela yang suram. Tiada lagi kibaran langsir yang melambai keceriaan. Tiada angin sepoi bahasa yang menyapa kemesraan. Kembara hanya bertemankan panahan matahari yang memantau setiap pergerakan.

Kembara Pena memperligatkan lagi daya pemikiran, memikir perbandingan antara karya dan populariti. Pemikiran yang tercetus setelah membaca hasil nukilan Robert Olen Butler. Robert dalam hasil nukilannya; From Where You Dream, membezakan hasrat menulis untuk bekarya dengan hasrat menulis untuk terkenal dan seterusnya menjadi popular.

Robert mengatakan kedua-duanya berbeza disebalik cita-cita yang sama, untuk menjadi seorang penulis. Menurut beliau, mudah bagi seseorang itu termasuk Kembara untuk jatuh cinta terhadap cita-cita  yang murni ini. Namun, cita-cita ini mampu membawa seseorang itu ke dalam kancah kesusahan lagi menyeksakan. Bergantung kepada hasrat insan itu.

Bagi Kembara, ada benarnya kata-kata Robert itu. Kembara merasakan kedua-dua hasrat itu boleh membawa seseorang ke arah yang berbeza. Hasrat untuk bekarya akan membawa seseorang itu untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu berbanding hasrat untuk menjadi popular.

Bagi yang ingin bekarya, popular akan hadir kemudian. Manakala hasrat untuk menjadi popular akan menghadkan seseorang itu dari menghasilkan karya yang berkualiti, kerana pemikirannya telah terkonkong dengan kehendak itu.

Benar atau tidak, mengenai apa yang difikirkan… tidaklah Kembara ketahui.  Namun, pemikiran ini telah tersemat di dalam hati dan fikiran Kembara. Kembara mungkin akan terus termenung memikirkan persoalan dan perbandingan ini sehingga terhasil jawapan yang kukuh.

 

 

 

Artis mana menjadi pilihan?

Pada saat menyingkap helaian beberapa buah buku yang mengisahkan kisah penulis, cara -cara penulisan dan seangkatan dengannya, hati kembara pena terusik dengan perkataan artis yang kerap tercatit terutamanya di dalam ‘From Where You Dream: The Process of Fiction Dream’ hasil nukilan Robert Olen Butler, pemenang hadiah Pulitzer. (Sebenarnya buku ini sudah lama dibeli, namun hanya mampu membacanya setelah peperangan dengan masa berakhir dan saya memenanginya.)

Perkataan ‘Artis’ tersebut menarik perhatian Kembara Pena apabila mengenangkan keadaan disekeliling yang dipenuhi gelombang cita-cita untuk menjadi seorang artis. Dari pengamatan, cita-cita ini terhasil apabila ramai diantara insan, terutama anak muda, ingin mengecapi zaman ke’glamour’an. Mungkin kerana insan-insan tersebut ingin keluar dari kepompong ‘invisible’, dan mahu menjadi perhatian orang.

Namun, yang menggerakkan pemikiran Kembara Pena adalah… Mengapa definasi artis yang dipilih adalah sebagai penyanyi? Tidak salah sebenarnya memilih untuk menjadi ‘artis’ tersebut. Tetapi apabila majoritinya memilih kerjaya itu, maka akan berlakulah limpahan dari mangkuk yang kecil. Industri muzik untuk dalam negara adalah kecil seperti yang semua maklum dan limpahan adalah bagi yang kurang mampu bersaing.

Kembara Pena merujuk kepada rakan baik (Macmillan Dictionary) dan mendapati maksud artis sebenarnya membawa banyak makna. Antaranya adalah pelukis, penari, penggiat teater, penulis, pembikin filem, komposer dan penulis lirik. Artis-artis ini sebenarnya turut memerlukan perhatian dan sumbangan tenaga dari semua insan bagi mengembalikan zaman kegemilangan yang kian layu.

Mengapa kurang yang memilih definasi selain penyanyi… Persoalan itu Kembara Pena tinggalkan buat diri sendiri untuk berfikir dan akan mencuba untuk memilih salah satu diantaranya.